Kuiz Hari Malaysia
19 September 2022 | Aktiviti TerkiniPusat Ekonomi Digital (PEDi) PPR Kampung Muhibbah telah mengadakan aktiviti bagi meraikan sambutan Hari Malaysia pada tahun ini. Aktiviti ini melibatkan para peserta dalam kalangan kanak-kanak daripada pelbagai peringkat umur antaranya berusia 4 tahun hingga 15 tahun yang menyertai permainan kuiz secara dalam talian.
Peserta dikehendaki mengakses pautan portal permainan kuiz yang diberikan oleh kakitangan PEDi untuk memulakan permainan menerusi platform Kahoot. Setelah itu, peserta memasukkan nombor pin permainan berserta nama samaran di laman Play Kahoot dan permainan kuiz dimulakan sebaik sahaja kakitangan PEDi yang mengendalikan kuiz menekan butang permulaan. Terdapat 20 soalan yang diketengahkan di dalam permainan kuiz pada kali ini di mana mampu menguji minda peserta berkenaan kuih tradisional yang sinonim dengan rakyat Malaysia.
Lazimnya, soalan kuiz akan dipaparkan di skrin projektor dan peserta perlu menekan pilihan jawapan menggunakan peranti masing-masing sama ada menerusi komputer, tablet atau telefon pintar yang mempunyai capaian internet yang baik. Antara soalan kuiz yang dikemukakan adalah berkenaan kuih tradisional yang popular di negeri Kelantan seperti kuih akok, nek bat, tahi itik dan buah tanjung. Di samping itu, kuih tepung pelita yang mudah didapati sewaktu musim bulan Ramadan amat terkenal di negeri Perak dan dipanggil sebagai kuih limas.
Bukan itu sahaja, peserta yang menyertai kuiz ini juga dapat mengetahui sesuatu kisah di sebalik kewujudan kuih tradisional yang diberikan gelaran tertentu oleh masyarakat setempat serta berbeza mengikut persekitaran dan sambutan yang diraikan bagi sesetengah kaum pada masa tertentu. Misalnya, kuih serabai yang diberikan jolokan sebagai kuih ‘mayat’ kerana kuih tersebut dihidangkan hanya semasa kenduri arwah untuk para tetamu yang hadir dan merupakan antara hidangan wajib dan popular di Melaka.
Akhir sekali, kuiz bersempenakan Hari Malaysia yang dijalankan dapat memberi manfaat kepada para peserta untuk lebih mengenali keunikan budaya dan tradisi yang terdapat di tanah air ini. Hal ini dapat diperlihatkan apabila peserta memperoleh pengetahuan baharu semasa menjawab soalan kuiz berdasarkan asal-usul kewujudan kuih tradisi mengikut negeri dan etnik tertentu yang terdapat di Malaysia.
Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan: