Kursus Train of Trainer - Penggunaan Autocrat (e-Sijil)
24 Julai 2022 | Aktiviti TerkiniPerisian Autocrat adalah merupakan alat penggabungan dokumen atau Merge Tools pelbagai guna yang membolehkan pengguna untuk mengambil data daripada hamparan dan menggabungkannya menjadi dokumen melalui templat yang telah disediakan atau ditetapkan. Autocrat ini lazimnya digunakan dalam kalangan guru atau tenaga pengajar untuk memudahkan proses penghasilan sijil.
Sehubungan dengan itu, kursus mengenai penggunaan Autocrat telah diadakan mengikut sesi yang telah dijadualkan dimana melibatkan semua kakitangan Pusat Ekonomi Digital (PEDi) di seluruh Malaysia di bawah pihak pengurusan NERA dan semua penyedia perkhidmatan dibawah seliaannya. Semua kakitangan yang terlibat di dalam Kursus Train of Trainer – Autocrat (e-Sijil) mendapat bimbingan daripada tenaga pengajar iaitu Encik Anwar bin Maso’od selaku Pengurus PEDi Semenyih. Kursus ini dijalankan juga bertujuan untuk meningkatkan kemahiran digital dan perisian komputer khususnya penggunaan Autocrat kepada setiap kakitangan PEDi.
Kakitangan PEDi dikehendaki menyediakan pangkalan data semasa kursus dimulakan dan pangkalan data boleh diwujudkan dengan pelbagai format. Sebagai contoh, aplikasi Google Form digunakan kerana ia mudah dan ‘mesra pengguna’ dalam proses pengumpulan data yang diperlukan serta menyediakan cara cepat untuk membuat kaji selidik dalam talian dan maklum balas daripada responden dikumpulkan dalam spreadsheet Excel menerusi atas talian.
Seterusnya, kaedah membuat templat sijil ditunjukkan sebelum melakukan proses penggabungan Autocrat dengan memuat naik imej templat berformatkan JPEG, JPG atau PNG ke dalam platform Google Slide. Di sini, Autocrat akan berfungsi dengan cara meletakkan tag penanda atau dipanggil sebagai right shift dan left shift operator seperti ( tag/data ) pada dokumen atau templat yang ingin digunakan. Penggunaan Autocrat yang telah diaktifkan akan menjadi lebih mudah jika maklumat tag di spreadsheet Excel sama seperti tag yang tertera di templat sijil. Hal ini dapat diperlihatkan apabila data yang dipaparkan di ruangan Merge Tab dapat dikesan secara automatik mengikut tag yang dibuat di tapak sijil.
Akhir sekali, penggunaan Autocrat ini sedikit sebanyak memberi manfaat terhadap kakitangan PEDi untuk memudahkan proses mengumpul dan mengeksport data bagi tujuan penghasilan sijil serta menghantar sijil menerusi emel peserta yang boleh ditetapkan dalam kapasiti maksimum sehingga 100 emel sehari. Justeru, diharapkan pengetahuan baharu yang dipelajari dapat dipraktikkan dalam memperkasakan kemahiran ICT setelah mengikuti pembelajaran kursus pada sesi tersebut.
Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan: