Tutorial Membuat Templat Menu Menggunakan Canva
12 September 2021 | Aktiviti TerkiniAplikasi Canva merupakan antara platform rekaan grafik yang sering digunakan bagi membuat kandungan berbentuk templat yang mampu membantu usahawan dalam mempromosikan produk. Selain itu, aplikasi Canva juga boleh digunakan untuk mencipta grafik bagi tujuan penyampaian informasi di media sosial, pembentangan slaid, poster, dokumen dan lain-lain lagi kandungan visual yang mampu menarik perhatian umum. Dengan wujudnya aplikasi ini, ia memudahkan pengguna memilih templat yang sedia ada untuk digunakan atau direka dengan pilihan rekaan grafik yang tersendiri mengikut citarasa pengguna.
Oleh demikian, Pusat Internet Komuniti (PIK) PPR Kampung Muhibbah telah mengadakan latihan tutorial untuk memberi tunjuk ajar kepada komuniti setempat khusus golongan usahawan tentang kaedah penggunaan aplikasi Canva. Tutorial yang dilaksanakan pada kali ini lebih memfokuskan kepada bahagian pemasaran produk bagi membantu usahawan dalam mempromosikan produk jualan makanan dengan menyediakan menu bergambar beserta harga. Hal ini bukan sahaja mampu menarik minat pelanggan untuk berkunjung ke lokasi perniagaannya, malahan dapat memudahkan pelanggan melihat senarai menu makanan yang tersedia dengan lebih terperinci.
Semasa sesi tutorial sedang dijalankan, usahawan ditunjukkan cara untuk mengakses portal aplikasi Canva dengan menggunakan ejen carian Google. Seterusnya, staf PIK membimbing usahawan untuk mendaftar masuk akaun di portal Canva dan kemudian boleh menggunakan pelbagai rekaan templat untuk membuat menu makanan mengikut kreativiti yang diinginkan. Usahawan turut mempelajari cara memuat naik imej, menyunting gambar, memasukkan hiasan tulisan kreatif serta mencipta templat dengan idea baharu dan kreatif. Akhir sekali, tutorial yang dijalankan ini sedikit sebanyak dapat memberi manfaat dan membantu usahawan untuk mempamerkan bahan promosi perniagaan di samping berpeluang mempelajari aplikasi terkini dalam penggunaan teknologi siber.
Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan: