Pendaftaran Permohonan Skim mySalam
29 Mac 2022 | Aktiviti TerkiniKerajaan telah mewujudkan skim mySalam yang merupakan sebuah inisiatif skim takaful perlindungan kesihatan percuma. Skim ini dapat memberikan perlindungan takaful kepada individu yang layak menerima manfaat skim Perlindungan Masyarakat mySalam melalui Tabung Amanah mySalam. Di samping itu, penubuhan skim mySalam di bawah skim perlindungan kesihatan sosial juga bertujuan untuk membantu golongan miskin apabila menghidapi penyakit-penyakit kritikal dan memerlukan bantuan bagi mengatasi masalah kewangan.
Sehubungan dengan itu, terdapat komuniti yang hadir ke Pusat Ekonomi Digital (PEDi) PPR Kampung Muhibbah bagi mendapatkan bantuan untuk membuat pendaftaran permohonan skim mySalam. Sesi pendaftaran skim mySalam ini juga diadakan bertujuan untuk membantu golongan kumpulan B40 dalam mendapatkan manfaat bagi tuntutan berkaitan Covid-19 akibat daripada penyakit berjangkit yang dihidapi dengan status positif Covid-19 semasa negara dan seluruh dunia mengalami penularan wabak Covid-19. Komuniti yang hadir mempelajari kaedah membuka akaun mySalam untuk mendaftar masuk portal sebagai ahli menerusi pautan (https://www.mysalam.com.my/b40/public).
Seterusnya, komuniti mendapat tunjuk ajar daripada staf PEDi untuk membuat tuntutan berkaitan Covid-19 dengan mengklik butang penyerahan tuntutan dan memilih bahagian tuntutan hospitalisasi. Borang tuntutan hospitalisasi (HB) akan dipaparkan dan pengguna portal dikehendaki melengkapkan butiran tuntutan seperti nama pihak penuntut, nama hospital, tarikh kemasukan dan tarikh keluar hospital atau tempoh kuarantin Covid-19 untuk tuntutan berkaitan Covid-19. Pihak mySalam juga memerlukan maklumat dan dokumen sokongan iaitu nota discaj atau dokumen yang dikeluarkan hospital atau Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mengesahkan diagnosis penyakit tersebut bagi pesakit yang disahkan menghidap Covid-19.
Sementara itu, perintah isolasi atau pengesahan diagnosis Covid-19 yang dikeluarkan KKM perlu dikemukakan dan dimuat naik di portal berserta salinan kad pengenalan depan dan belakang untuk mendapatkan tuntutan manfaat penggantian pendapatan bagi pesakit yang disyaki menghidap Covid-19 atau sedang menjalani perintah isolasi KKM. Setelah melengkapkan maklumat yang dikehendaki termasuk mengemaskini profil diri dan info perbankan, pengguna boleh menekan butang hantar dan status proses tuntutan akan dipamerkan di portal mySalam dengan rujukan nombor tuntutan. Justeru, inisiatif kerajaan melalui penubuhan skim mySalam ini diharapkan dapat membantu meringankan beban kewangan akibat daripada penyakit yang dihidapi dan memudahkan kumpulan berpendapatan rendah untuk menjalani kehidupan yang normal menerusi penyediaan perlindungan takaful secara percuma
Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan: