Pembaharuan Pendaftaran Perniagaan Melalui SSM Ezbiz
27 Mei 2022 | Aktiviti TerkiniPusat Ekonomi Digital (PEDi) PPR Kampung Muhibbah telah dikunjungi komuniti yang hadir ke PEDi bagi mendapatkan bantuan untuk membuat pembaharuan perniagaan yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Pembaharuan pendaftaran perniagaan di SSM ini dijalankan secara atas talian menerusi portal rasmi SSM ezbiz. Sesi pada kali ini juga melibatkan pembaharuan perniagaan di SSM yang berhubung kait dengan individu yang mendaftarkan perniagaan milikan tunggal dan menguruskan perniagaannya secara sendirian.
Komuniti yang hadir pada sesi ini dijalankan merupakan penduduk setempat di PPR Kampung Muhibbah dan beliau bekerja sendiri dengan mencari pendapatan sebagai pemandu teksi serta pemandu e-hailing (Grab & MyCar). Beliau berkunjung ke PEDi PPR Kampung Muhibbah bagi mendapatkan bantuan kakitangan PEDi berkenaan urusan pemprosesan secara atas talian untuk memperbaharui sijil perniagaan yang telah didaftarkan bersama SSM. Sebelum ini, beliau melaksanakan proses pembaharuan pendaftaran perniagaan secara fizikal dengan berkunjung terus ke kaunter SSM di cawangan yang berhampiran untuk mendapatkan semula tarikh kuat kuasa baharu bagi sijil SSM yang telah tamat tempoh.
Beliau mempelajari cara untuk mendaftarkan akaun baharu sebagai pengguna portal SSM ezbiz dengan melayari laman rasmi di pautan https://ezbiz.ssm.com.my. Kakitangan PEDi juga memberi tunjuk ajar kepada beliau untuk memasukkan maklumat peribadi yang diperlukan bagi pengaktifan akaun SSM ezbiz. Antara butiran peribadi yang dikehendaki bagi mengaktifkan akaun SSM ezbiz adalah seperti nama pengguna, kata laluan, nama dan nombor kad pengenalan berserta dokumen sokongan iaitu lesen memandu, bil atau dokumen yang tertera nama pemilik perniagaan. Dokumen asal yang menunjukkan butiran peribadi pemilik juga perlu dimuat naik di bahagian lampiran termasuk gambar swafoto bersama kad pengenalan bagi tujuan pengesahan identiti.
Seterusnya, beliau juga dapat mempelajari kaedah untuk menempah slot temujanji dengan mengisi borang janji temu pengesahan pengguna SSM ezbiz secara atas talian dan menunggu panggilan video yang diuruskan oleh pejabat cawangan SSM dalam tempoh 3 hari dari tarikh pemberitahuan untuk mengaktifkan akaun pemilik. Tempahan slot temujanji ini perlu dilakukan oleh pengguna kerana ia merupakan prosedur baharu yang diguna pakai oleh pihak SSM untuk melaksanakan proses temuduga secara atas talian antara pegawai SSM dan pemilik yang mendaftarkan akaun baharu bagi tujuan pengesahan identiti sebelum akaun SSM ezbiz diaktifkan dan boleh digunakan seperti biasa.
Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan: