Semakan Status Bantuan (BKM) 2022
23 April 2022 | Aktiviti TerkiniPusat Ekonomi Digital (PEDi) PPR Kampung Muhibbah telah membimbing komuniti setempat yang berkunjung ke PEDi bagi mendapatkan bantuan untuk menyemak status permohonan dan kemasukan pemberian bantuan tunai langsung iaitu Bantuan (BKM) 2022. Pihak PEDi turut menawarkan perkhidmatan fasiliti komputer dan internet beserta latihan penggunaan perkhidmatan digital terutama berkaitan e-kerajaan.
Latihan pada kali ini lebih menumpukan kepada golongan warga emas yang ingin menyemak status permohonan BKM secara atas talian menerusi portal myBKM (https://bkm.hasil.gov.my/) dan beliau kurang mahir menggunakan komputer dan sistem berbentuk digital. Pemberian bantuan tunai langsung BKM yang diwujudkan pihak kerajaan ini menyasarkan kepada kumpulan isi rumah atau bujang bagi kategori B40, warga emas dan ibu bapa tunggal untuk membantu meringankan beban dari segi kewangan dalam menyara hidup secara sendirian atau bersama tanggungan.
Kakitangan PEDi memberi tunjuk ajar kepada komuniti tentang cara mendaftar masuk portal myBKM berserta kata laluan yang telah ditetapkan sewaktu permohonan pertama kali dilakukan di portal tersebut. Setelah berjaya mendaftar masuk akaun myBKM, paparan muka hadapan portal di laman menu akan menunjukkan profil pengguna dan beberapa pilihan kategori seperti semakan status, cetakan, peti mel serta bahagian maklum balas.
Pengguna seterusnya membuat semakan penerimaan pembayaran bantuan BKM di bahagian semakan status dan menekan butang maklumat bayaran untuk mengetahui lebih lanjut tentang status pengkreditan wang tunai ke akaun bank penerima. Bagi permohonan yang lulus, pengguna dapat melihat jumlah keseluruhan BKM dan jumlah yang telah dibayar di bahagian maklumat pembayaran termasuk butiran mengenai amaun kelulusan asas BKM dan BKM tambahan sebanyak RM300 turut dipaparkan di portal berkenaan.
Akhir sekali, portal myBKM yang diwujudkan secara atas talian sedikit sebanyak membantu penerima bantuan tunai BKM khasnya bagi penerima dalam kalangan warga emas yang masih menggunakan buku akaun bank simpanan untuk menyemak baki wang di kaunter bank dan kurang mahir menggunakan perbankan internet untuk menyemak status pengkreditan tunai atau kemasukan wang terus ke akaun bank pemilik. Justeru, portal myBKM yang mengandungi maklumat pembayaran BKM memudahkan pengguna untuk mengetahui status sama ada wang berjaya dikreditkan atau sebaliknya tanpa perlu bersusah-payah beratur di mesin ATM atau pergi ke bank semata-mata untuk menyemak baki wang sudah diterima atau dalam proses
Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan: