Tutorial Penggunaan Aplikasi e-Dompet (Boost)
23 Februari 2022 | Aktiviti TerkiniPeningkatan dunia digital pada masa ini menggalakkan lagi penggunaan e-Dompet atau dompet digital. E-Dompet digunakan sebagai transaksi dalam talian yang dilakukan melalui telefon atau komputer dan merupakan sejenis kad elektronik. E-Dompet berfungsi seperti dompet fizikal dicipta dalam bentuk digital yang mempunyai utiliti seumpama kad debit atau kad kredit yang boleh menyimpan wang dan maklumat perbankan disimpan dalam satu aplikasi. Kaedah pembayarannya pula perlu disambungkan ke akaun bank individu untuk membuat pemindahan transaksi serta digunakan khusus untuk pengguna telefon pintar.
Oleh yang demikian, Pusat Ekonomi Digital (PEDi) PPR Kampung Muhibbah mengadakan Tutorial Aplikasi e-Dompet (Boost) bertujuan untuk membimbing komuniti menggunakan aplikasi digital bagi kemudahan transaksi dalam talian. Komuniti yang hadir semasa tutorial ini dijalankan menggunakan aplikasi Boost yang merupakan antara e-Dompet popular digunakan terutama semasa dunia dilanda pandemik Covid-19 dan kebanyakan pengguna sudah beralih ke arah transaksi digital bagi mengekang penularan wabak Covid-19. Komuniti yang hadir mempelajari cara untuk membuka akaun di aplikasi Boost bagi penggunaan dalam urusan pembayaran bantuan persekolahan yang diterima daripada sekolah anaknya.
Staf PEDi juga turut menunjukkan cara kepada komuniti terbabit untuk mengaktifkan akaun perbankan yang berhubungkait dengan aplikasi Boost. Komuniti melengkapkan maklumat peribadi di ruangan profil yang dipaparkan di aplikasi tersebut dan memasukkan maklumat kad bank iaitu kad debit untuk dihubungkan bersama aplikasi Boost bagi membuat pembayaran berserta nombor akaun bank dan nombor telefon untuk menerima pembayaran daripada pihak lain. Aplikasi e-Dompet juga dapat memberi manfaat terhadap pengguna kerana tidak perlu membawa dompet atau beg tangan dengan jumlah wang yang banyak ke mana sahaja disebabkan fungsinya yang menggantikan dompet fizikal memudahkan urusan seharian.
Malahan, penggunaan e-Dompet seperti Boost juga memudahkan setiap pengguna apabila tidak perlu beratur panjang menunggu giliran semata-mata untuk mengeluarkan wang tunai di mesin ATM dan boleh melakukan pembayaran secara terus dengan hanya membuka aplikasi Boost lalu mengimbas kod QR yang tersedia di kaunter pembayaran. Aplikasi Boost turut menawarkan pelbagai ganjaran seperti rebat tunai, diskaun dan baucar pembelian jika pengguna ingin membeli-belah di portal e-Dagang atau di beberapa cawangan kedai berjenama dan tawaran ini menarik perhatian pembeli untuk berbelanja dengan cara berjimat pada harga terendah. Pengguna juga tidak perlu lagi menyimpan resit pembelian kerana rekod perbelanjaan bagi setiap transaksi turut dipaparkan menerusi aplikasi Boost di samping mempercepatkan proses transaksi tanpa perlu menunggu baki wang
Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan: