Kuiz Kemerdekaan 2021 – Kahoot
28 Ogos 2021 | Aktiviti TerkiniSempena menyambut Hari Kebangsaan ke-64 yang bakal kunjung tiba, Pusat Internet Komuniti (PIK) PPR Kampung Muhibbah telah mengadakan satu aktiviti bagi menyemarakkan lagi suasana bulan kemerdekaan Malaysia. Aktiviti kali ini diteruskan lagi melalui aktiviti secara dalam talian iaitu Kuiz Kemerdekaan 2021 yang dijalankan menerusi aplikasi Kahoot dan turut disiarkan secara langsung menggunakan Streamyard Live Studio serta dikongsi di laman sosial Facebook Page PIK PPR Kampung Muhibbah.
Kuiz atas talian ini dijalankan dengan jayanya dan mendapat penglibatan daripada komuniti setempat yang berkunjung ke PIK termasuk penyertaan daripada pengikut Facebook Page PIK PPR Kampung Muhibbah. Bagi pengunjung yang hadir ke PIK untuk menyertai kuiz secara alam maya ini, mereka dihadkan hanya lima orang pengguna sahaja dibenarkan masuk dalam satu masa sebagai langkah pencegahan bagi mengekang penularan wabak Covid-19 yang masih berleluasa hingga kini. Peserta yang mengikuti kuiz di PIK rata-ratanya terdiri daripada golongan pelajar dan mereka dikehendaki mengikuti Prosedur Operasi Standard (SOP) dengan ketat termasuk direkodkan bacaan suhu sebelum memasuki bilik latihan PIK bagi menyertai kuiz yang diadakan pada hari tersebut.
Di peringkat awal, peserta diminta mendaftarkan penyertaan melalui pautan borang Google Form dan seterusnya melayari laman Play Kahoot untuk memasukkan kod pin bagi memulakan kuiz secara dalam talian. Soalan kuiz di laman Kahoot hanya akan dipaparkan menerusi skrin projektor dan pemain dikehendaki menekan jawapan terus dari peranti komputer atau telefon pintar masing-masing. Bagi pengikut Facebook Page yang menyertai kuiz secara langsung di laman sosial, peserta dicadangkan menggunakan dua peranti iaitu satu telefon pintar atau komputer untuk melihat paparan soalan kuiz yang dimainkan di Facebook Page Live dan satu lagi peranti untuk memudahkan semasa menjawab soalan kuiz. Antara soalan kuiz yang diketengahkan adalah seperti nama lain bagi bendera Malaysia, nama bunga yang menjadi simbol negara, gelaran dan sumbangan Perdana Menteri Malaysia serta tajuk lagu patriotik.
Sementara itu, kuiz kemerdekaan yang dilaksanakan bukan sahaja bertujuan untuk menguji minda dan pengetahuan tentang hari bersejarah malahan turut memberi manfaat kepada peserta dalam menghayati makna kemerdekaan dan berusaha untuk mengekalkan keharmonian yang dinikmati pada masa ini. Justeru, aktiviti bersempena bulan kemerdekaan ini diharapkan dapat memupuk semangat patriotik dan cinta akan negara di dalam diri setiap insan yang bergelar warganegara Malaysia serta dapat memelihara kesejahteraan walaupun hidup berbilang kaum.
Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan: