Kuiz Maulidur Rasul 1443H
31 Oktober 2021 | Aktiviti TerkiniBersempena dengan bulan sambutan Maulidur Rasul 1443H yang disambut baru-baru ini pada setiap 12 Rabiulawal, Pusat Internet Komuniti PPR Kg. Muhibbah telah mengadakan kuiz dalam talian bagi menyemarakkan lagi rasa cinta atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Kuiz ini dijalankan menerusi portal permainan dalam talian iaitu Wordwall. Kuiz tersebut turut disiarkan secara langsung menerusi aplikasi Streamyard Live Studio dan juga dikongsikan di laman Facebook Page Pusat Internet Komuniti PPR Kg. Muhibbah.
Wordwall merupakan portal literasi yang menumpukan kepada medium pembelajaran secara digital. Portal Wordwall ini mengandungi kumpulan perkataan yang dipaparkan di papan bulletin, dinding atau pelbagai permukaan yang direka mengikut pilihan tema serta mampu menarik perhatian pelajar, guru mahupun individu lain supaya suasana sesi pembelajaran kelas yang diikuti lebih interaktif. Bagi kuiz dalam talian bersempena sambutan Maulidur Rasul pada kali ini, secara keseluruhannya merangkumi 15 soalan berkaitan sirah Baginda SAW.
Sebelum bermulanya permainan kuiz dalam talian, peserta dikehendaki merekodkan butiran peribadi di dalam borang Google Form yang disediakan sebagai pengesahan penyertaan dan seterusnya melayari pautan Wordwall bagi mengikuti Kuiz Maulidur Rasul secara dalam talian. Antara soalan yang diketengahkan dalam kuiz ini adalah berkenaan biodata Nabi Muhammad SAW seperti tarikh kelahiran, latar belakang ahli keluarga dan kisah-kisah yang berlaku pada zaman Baginda SAW.
Sementara itu, peserta dan penonton yang mengikuti kuiz dalam talian juga dapat mempelajari sirah Baginda SAW sambil mencontohi teladan melalui akhlak mulia yang ditunjukkan Nabi Muhammad SAW dan menjadikan sebagai ikutan sekalian umat. Aktiviti seperti ini juga dapat membina penghayatan rohani di dalam diri setiap insan apabila peserta mendalami peristiwa pengorbanan Baginda SAW dalam memelihara keagungan agama Islam. Malahan, individu yang mengikuti kuiz ini juga dapat mendidik jiwa untuk sentiasa memperbaiki diri agar mempertingkatkan keimanan dan ketaqwaan dalam usaha menjadi seorang hamba yang lebih baik dan mempertuhankan Tuhan.
Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan: