Tutorial Shopee – Pengeluaran Baki (Seller Balance) Ke Akaun Bank
26 Julai 2021 | Aktiviti TerkiniTutorial Shopee – Pengeluaran Baki (Seller Balance) ke Akaun Bank merupakan antara aktiviti kesinambungan daripada latihan yang telah diadakan sebelum ini oleh Pusat Internet PPR Kg. Muhibbah. Aktiviti kali ini diteruskan lagi secara atas talian bagi mematuhi arahan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi berikutan lanjutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) di seluruh negara. Tutorial yang dijalankan ini turut dikongsi di laman Instagram dan Facebook Page Pusat Internet Komuniti PPR Kg. Muhibbah yang bertujuan untuk memberi panduan kepada pengikut di media sosial terutama golongan penjual yang menceburi perniagaan e-dagang khasnya di platform Shopee.
Perkara yang dipelajari di dalam tutorial ini lebih memfokuskan kepada kaedah untuk mengeluarkan wang daripada hasil pendapatan jualan di Shopee ke akaun bank. Kaedah ini boleh dilakukan melalui telefon pintar dengan mengakses aplikasi Shopee. Langkah pertama tutorial dimulakan dengan mendaftar masuk di aplikasi Shopee dan klik di bahagian maklumat akaun peribadi yang terdapat pada ruangan muka hadapan.
Sementara itu, paparan akaun Shopee akan menunjukkan ikon kedai dan klik ikon tersebut untuk ke bahagian baki penjual (seller balance). Langkah berikutnya pada bahagian baki penjual (seller balance), akan tertera jumlah amaun yang boleh dikeluarkan untuk membuat penukaran transaksi wang daripada baki seller balance ke akaun bank simpanan atau akaun bank semasa. Pengemaskinian data juga dapat dilakukan di ruangan tetapan kad atau akaun bank jika ingin membuat sebarang perubahan maklumat perbankan.
Seterusnya, klik pada bahagian ikon pengeluaran (withdrawal) untuk meneruskan proses pengeluaran baki seller balance ke akaun bank. Jika maklumat akaun bank pilihan yang ingin dimasukkan wang adalah betul, masukkan jumlah amaun yang ingin dikeluarkan atau klik pada kotak berkenaan bagi mengeluarkan keseluruhan amaun di baki seller balance untuk terus masuk ke akaun bank yang telah ditetapkan.
Paparan berikutnya akan mempamerkan maklumat pengeluaran berserta akaun bank dan jumlah amaun yang hendak dikeluarkan untuk semakan sebelum membuat pengesahan transaksi. Akhir sekali, pemilik akaun diminta memasukkan kod pin seller balance Shopee bagi mengesahkan transaksi dan proses pengeluaran yang lengkap akan mengambil masa kira-kira dalam tempoh 2 hingga 5 hari bekerja untuk wang tersebut berjaya dimasukkan ke dalam akaun bank.
Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan: