Pembelajaran dan Pengajaran Secara Atas Talian
26 Mei 2021 | Aktiviti TerkiniKebelakangan ini, peningkatan kes harian Covid-19 di Malaysia berada pada tahap yang membimbangkan sehingga berlakunya gelombang ketiga yang menunjukkan penularan wabak Covid-19 kembali aktif dalam kalangan komuniti. Hal ini turut memberi kesan kepada institusi pendidikan negara di mana wujudnya amalan norma baharu ke arah pembelajaran secara digital. Tambahan pula, pihak kerajaan mengarahkan penutupan sementara operasi persekolahan dan menggalakkan aktiviti pembelajaran dan pengajaran secara atas talian diteruskan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dikuatkuasakan semula di seluruh negara bagi memutuskan rantaian Covid-19.
Sehubungan dengan itu, Pusat Internet Komuniti PPR Kg Muhibbah turut menyediakan kemudahan capaian internet berkelajuan tinggi dan menerima kunjungan daripada beberapa orang pelajar yang ingin mengikuti sesi pembelajaran dan pengajaran yang dilaksanakan secara dalam talian. Antara pelajar yang terlibat terdiri daripada pelajar sekolah rendah Tahun 5, Tahun 6 dan termasuk pelajar di peringkat universiti.
Lazimnya, kaedah pembelajaran dan pengajaran secara atas talian ini dijalankan menerusi telesidang dengan menggunakan beberapa aplikasi seperti Zoom, Google Meet, Skype, Whatsapp Video Call, Youtube Live dan sebagainya. Pendigitalan di dalam kaedah pembelajaran dan pengajaran ini juga merupakan pengalaman baharu yang memberikan cabaran buat para guru atau pensyarah sebagai tenaga pengajar untuk menyampaikan ilmu dengan lebih kreatif dan efektif bagi memastikan setiap pelajar tidak tercicir di dalam akademik dengan mengadaptasikan kecanggihan teknologi perisian dan aplikasi terkini.
Walaupun terdapat kesukaran pada awal pelaksanaan sistem ini, namun dengan bantuan dan sokongan ibu bapa khususnya yang mempunyai anak kecil yang kurang pengetahuan mengenai teknologi ICT turut memberi kerjasama dengan belajar mendalami kaedah penggunaan aplikasi seperti Google Meet, Google Drive, Google Classroom dan Telegram. Aplikasi seperti yang dinyatakan dimanfaatkan sebaik mungkin semasa sesi pembelajaran berlangsung apabila guru dan pelajar saling berinteraksi di dalam video telesidang serta mengakses dan memuat turun latihan tugasan yang diberikan oleh guru menerusi platform digital.
Justeru, medium pembelajaran dan pengajaran secara atas talian ini sedikit sebanyak bukan sahaja mengubah corak sistem pendidikan malahan dapat meningkatkan kemahiran digital khususnya dalam kalangan pelajar seiring perkembangan arus pemodenan global demi melahirkan generasi milenia yang celik IT dan berminda kelas pertama.
Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan: