Latihan ICT – Cara Mendaftar Grab Food Merchant
27 Mac 2021 | Aktiviti TerkiniAplikasi Grab merupakan antara platform e-Dagang yang cukup popular pada masa ini. Awalnya, Grab bermula dengan menawarkan perkhidmatan bercirikan servis pengangkutan berkonsepkan e-hailing di mana para penumpang boleh membuat tempahan secara dalam talian untuk menaiki kenderaan di bawah servis Grab ke destinasi yang hendak dituju. Kini, Grab mula berkembang dengan menawarkan perkhidmatan bukan sahaja melibatkan servis penghantaran barangan malah, membabitkan servis penjualan dan penghantaran makanan secara dalam talian.
Oleh demikian, bagi membantu komuniti setempat yang terjejas akibat Pandemik COVID-19, Pusat Internet Komuniti (PIK) PPR Kg. Muhibbah mempergiatkan lagi usaha dalam menggalakkan usahawan tempatan menceburi bidang perniagaan secara atas talian khasnya melibatkan platform e-Dagang iaitu Grab Food. Aktiviti penjualan di platform Grab Food memfokuskan penjualan makanan dan minuman yang dijual oleh para peniaga tidak kira sama ada dijalankan operasinya secara di rumah, kiosk, gerai, restoran, kedai mini dan seumpamanya asalkan ia menepati terma syarat yang dikehendaki oleh pihak Grab.
Latihan kali ini melibatkan garis panduan mendaftar sebagai Grab Food Merchant yang boleh diakses menerusi portal (https://www.grab.com/my/merchant/food/). Peniaga perlu mengisi maklumat yang diminta melalui portal dan akan menerima maklum balas daripada pihak Grab menerusi emel atau panggilan telefon selewat-lewatnya dalam masa 7 hari bekerja. Antara maklumat yang diperlukan untuk mendaftar sebagai Grab Food Merchant adalah seperti nama kedai/restoran, nama pemilik perniagaan, lokasi perniagaan dijalankan, maklumat untuk dihubungi, jenis makanan, senarai menu berserta harga, bilangan cawangan kedai/restoran, borang Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan maklumat perbankan.
Selain itu, usahawan juga digalakkan untuk menyediakan maklumat tambahan berkaitan perniagaan seperti logo perniagaan, waktu operasi, menu berserta gambar produk jualan di kedai, lesen perniagaan dan gambar hadapan lokasi kedai/restoran bagi mengetahui kedudukan sebenar perniagaan yang dijalankan secara fizikal sama seperti yang dipaparkan di aplikasi Grab Food. Akhir sekali, perniagaan secara atas talian secara tidak langsung memberi pulangan kepada para peniaga berasaskan makanan dan minuman dalam meningkatkan hasil jualan serta turut memberi peluang kepada pekerja penghantar makanan segera untuk berkongsi rezeki melalui pendapatan sampingan hasil daripada menjadi Grab Rider.
Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan: