Tutorial Facebook Marketplace
22 Januari 2021 | Aktiviti Terkini‘Facebook Marketplace’ merupakan antara platform penjualan yang popular di Facebook untuk memasarkan produk jualan di laman sosial secara pemasaran sifar iaitu tanpa mengeluarkan sebarang kos dari segi pemasaran. Lazimnya, Facebook Marketplace digunakan para pengguna Facebook untuk meneroka produk jualan tidak kira sama ada untuk membeli atau menjual item dan berhubung melalui Messenger untuk meneruskan urusniaga. Oleh yang demikian, Pusat Internet Komuniti PPR Kampung Muhibbah meneruskan lagi aktiviti latihan tutorial secara atas talian yang diadakan secara langsung menerusi Facebook Page dan juga aplikasi Streamyard Live Studio bagi mengisi waktu lapang bersama pengguna internet di laman sosial sepanjang tempoh menjalani Perintah Kawalan Pergerakan di rumah.
Seperti kebiasaan, aktiviti bermula dengan perkongsian pautan borang kehadiran melalui Google Form yang dikongsikan di ruangan komen dan peserta dikehendaki untuk mengisi maklumat yang diperlukan dengan menekan pautan tersebut sebagai tanda penglibatan. Tutorial Facebook Marketplace ini memfokuskan kepada panduan menyenaraikan produk jualan di bahagian pemasaran Facebook Marketplace. Tambahan pula, terdapat juga perniagaan lain yang menggunapakai kemudahan di Facebook Marketplace untuk mempamerkan pelbagai inventori bagi item peruncitan, penyewaan rumah/premis, penjualan kenderaan, iklan kerjaya dan termasuk pembelian tiket bagi acara tertentu dimana wujudnya penglibatan kerjasama dengan senarai rakan kongsi yang terdapat di saluran tersebut.
Selain itu, peserta juga dapat mempelajari teknik untuk meletakkan produk jualan di Facebook Marketplace. Kaedah ini ditunjukkan dengan demonstrasi memasukkan gambar, harga, info produk, penetapan harga, status kondisi item sama ada baharu atau terpakai, lokasi dan maklumat untuk berhubung secara langsung dengan penjual. Iklan yang dipromosikan di platform ini juga mampu menarik perhatian umum dalam kalangan pengguna Facebook apabila produk yang diiklankan muncul di senarai Facebook Group yang dikongsi di laman sosial lalu dapat memberi kelebihan untuk mengembangkan perniagaan dan meningkatkan hasil jualan.
Seterusnya, tutorial ini juga dapat memberi manfaat kepada golongan penjual ataupun individu yang ingin mencari pendapatan sampingan dengan memulakan pemasaran digital tanpa mengeluarkan sebarang modal. Hal ini kerana Facebook Marketplace mempunyai ciri-ciri yang berfungsi untuk memberi hebahan terhadap kewujudan sesuatu produk di pasaran ‘brand awareness’, menarik perhatian lebih ramai trafik di laman sosial, meningkatkan peratusan kadar tontonan tertinggi bagi video pemasaran, mendapatkan respon atau maklum balas daripada pengguna untuk sesuatu acara yang bakal diadakan dan mencipta komunikasi bersama pelanggan atau prospek diruangan mesej. Malahan, pengguna di Facebook Marketplace juga boleh mencari maklumat produk yang ingin dibeli secara atas talian dengan adanya katalog jualan yang dipaparkan oleh penjual di ruangan ‘item untuk dijual’ serta memberi faedah kepada penjual untuk merekod dan menyimpan data trafik yang wujud apabila menjalankan promosi dengan mengiklankan produk di platform terbabit.
Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan: