Latihan ICT – Membuat Poster Bervideo Menggunakan Canva
19 April 2021 | Aktiviti TerkiniAplikasi Canva merupakan antara platform rekaan grafik yang sering digunakan bagi membuat kandungan berbentuk visual yang mampu menarik perhatian umum. Lazimnya, ia digunakan untuk mencipta grafik di media sosial, pembentangan slide, poster, dokumen dan lain-lain lagi kandungan visual. Aplikasi ini diwujudkan bagi memudahkan pengguna memilih templat yang sudah tersedia untuk digunakan atau direka dengan pilihan rekaan grafik yang baharu.
Bagi mengasah bakat dan kreativiti kanak-kanak, Pusat Internet Komuniti (PIK) PPR Kg. Muhibbah telah mengadakan latihan ICT mengenai cara penggunaan aplikasi Canva. Latihan kali ini memfokuskan teknik untuk membuat poster bervideo dan diajarkan kepada pelajar sekolah rendah berumur 12 tahun ke bawah yang merupakan penduduk setempat yang tinggal di kawasan PPR Kg. Muhibbah.
Semasa permulaan latihan, peserta ditunjukkan cara untuk mengakses aplikasi Canva menerusi ejen carian Google untuk memasuki laman aplikasi tersebut. Seterusnya, peserta diberikan pilihan untuk memilih templat yang menarik bagi menghasilkan poster bervideo mengikut kreativiti masing-masing. Peserta mempelajari kaedah memuat naik dan meletakkan imej bergambar ke dalam templat video, memasukkan elemen khas seperti teks, pelekat, animasi, serta membuat rekaan latar belakang dengan pelbagai pilihan tema yang tersedia.
Tambahan pula, peserta juga turut didedahkan dengan teknik menyunting imej dan audio bagi menghasilkan muzik atau kesan bunyi khas di dalam video yang dimainkan. Hal ini dilakukan dengan menetapkan durasi audio seragam dengan imej yang dipaparkan supaya penghasilan akhir video tampak lebih kemas dan lancar semasa dipertontonkan. Antara hasil kreativiti para peserta yang mengikuti latihan ini adalah berbentuk poster bervideo dengan bertemakan ‘Amalan Norma Baharu – Pencegahan Covid-19’, ‘Juadah Makanan’ dan ‘Ucapan Sambutan Hari Lahir’.
Akhir sekali, latihan ini bukan sahaja dapat melahirkan kreativiti malahan mampu meningkatkan pengetahuan dan kemahiran para peserta dalam memaksimumkan penggunaan teknologi siber serta membantu generasi milenia untuk mengadaptasikan perubahan dunia digital dalam menuju arus pemodenan
Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia
Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan: