Tutorial Pendaftaran Perniagaan Melalui Skim Pendaftaran Perniagaan Prihatin (SPPP)
19 Disember 2021 | Aktiviti TerkiniPihak kerajaan telah memberi peruntukan geran di dalam program Skim Pendaftaran Perniagaan Prihatin (SPPP) berkuatkuasa pada 4 Februari 2021. Skim ini berbentuk insentif percuma khusus diberikan kepada golongan Usahawan Kumpulan B40 dan Pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam/Swasta (IPTA/IPTS) yang ingin mendaftarkan perniagaan mereka dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956.
Bagi usahawan yang memenuhi kriteria dan tergolong dalam kategori seperti yang dinyatakan, akan dikira layak serta boleh mendaftarkan perniagaan di dalam skim SPPP tanpa dikenakan sebarang bayaran. Bukan itu sahaja, khabar baik buat Usahawan Kumpulan B40 dan pelajar IPTA/IPTS yang belum mendaftarkan perniagaan di bawah skim ini juga berpeluang bertindak sedemikian kerana skim SPPP masih diteruskan buat masa ini sehingga pengumuman semasa diberitahu kelak.
Sehubungan dengan itu, Pusat Ekonomi Digital (PEDi) PPR Kampung Muhibbah telah mengambil inisiatif mengadakan sesi Tutorial Pendaftaran Perniagaan Melalui Skim Pendaftaran Perniagaan Prihatin (SPPP) bagi membantu usahawan tempatan yang mengusahakan perniagaan untuk mendaftarkan perniagaan secara sah dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Komuniti yang terlibat semasa sesi tutorial dilaksanakan merupakan usahawan B40 dan diberikan tunjuk ajar daripada staf PEDi tentang cara penggunaan komputer untuk mendaftarkan perniagaan mereka menerusi dalam talian dengan melayari portal SSM ezbiz (https://ezbiz.ssm.com.my).
Seterusnya, usahawan mempelajari kaedah untuk mendaftar sebagai pengguna akaun SSM ezbiz dengan mengisi maklumat peribadi yang dikehendaki seperti nama, alamat tempat tinggal, emel dan nombor telefon untuk dihubungi sebelum pendaftaran perniagaan dapat dilakukan di portal tersebut. Pendaftaran akaun baharu SSM ezbiz yang berjaya akan menerima notifikasi emel daripada pihak SSM yang menunjukkan nombor rujukan dan pemilik akaun perlu hadir ke cawangan SSM berdekatan untuk membuat pengesahan identiti.
Selepas pengesahan identiti dilakukan, usahawan dapat menggunakan portal SSM ezbiz dengan memasukkan nama pengguna berserta kata laluan yang telah ditetapkan semasa pendaftaran akaun. Usahawan melengkapkan maklumat perniagaan yang ingin didaftarkan di SSM di bawah skim SPPP dan boleh menggunakan nama peribadi atau nama dagangan untuk mendaftarkan perniagaan baharu. Pendaftaran perniagaan di bawah skim SPPP ini juga perlu dilampirkan bersama dokumen sokongan seperti status pengesahan penerimaan Bantuan Prihatin Nasional (BPN 2.0) atau Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) bagi usahawan B40 manakala bagi kategori pelajar IPTA/IPTS dikehendaki untuk disertakan sekali surat perakuan pelajar daripada institusi pengajian.
Justeru, diharapkan dengan insentif pendaftaran percuma SSM melalui skim SPPP dapat memberi manfaat dalam meringankan beban usahawan sedia ada mahupun yang baru berjinak-jinak dalam dunia perniagaan untuk berpeluang mempunyai sijil perniagaan yang didaftarkan di SSM tanpa dikenakan sebarang caj terutama golongan usahawan B40 dan pelajar IPTA/IPTS yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan: