Latihan ICT – Kelas Shopee Siri 2
20 Disember 2020 | Aktiviti TerkiniPusat Internet PPR Kg Muhibbah telah mengadakan satu sesi Latihan ICT – Kelas Shopee Siri 2 secara dalam talian. Bagi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilanjutkan sehingga 31 Disember 2020, Pusat Internet Komuniti di dalam kawasan zon merah terpaksa ditutup buat sementara waktu dan sesi latihan dilaksanakan secara dalam talian menggunakan aplikasi Stream Yard Live Studio yang turut dikongsi siaran langsungnya menerusi platform Facebook Page Live Pusat Internet Komuniti PPR Kg Muhibbah.
Kelas Shopee ini merupakan kesinambungan daripada latihan ICT yang telah diadakan sebelum ini bagi menggalakkan komuniti setempat untuk menceburi bidang keusahawanan dan pemasaran digital dengan menjana pendapatan sampingan menerusi platform e-Dagang khususnya melibatkan aktiviti penjualan di Shopee. Terlebih dahulu, peserta dikehendaki untuk mengisi maklumat di dalam Google Form dengan menekan pautan yang disediakan di ruangan komen sebagai pengesahan kehadiran bagi mengikuti latihan ini.
Antara perkara yang dipelajari adalah seperti kaedah mengurus dan memproses pesanan pelanggan di aplikasi Shopee dengan hanya menggunakan telefon bimbit. Di samping itu, turut diajarkan kaedah untuk mengenal pasti status tempahan sama ada perlu dilakukan proses penghantaran, maklumat pembayaran pelanggan, status terkini penghantaran bungkusan, rekod tempahan lengkap, pembatalan tempahan, pemulangan wang atau pengembalian produk jualan, penilaian tempahan dan semakan sejarah transaksi bagi pesanan pelanggan terdahulu yang telah membuat pembelian.
Seterusnya, latihan ini juga memberi pendedahan kepada peserta bagi mendalami teknik-teknik baharu berniaga di Shopee yang merupakan platform utama beli-belah secara dalam talian di Malaysia. Misalnya, kaedah menggunapakai alat pemasaran yang disediakan di portal pusat penjual Shopee iaitu cara mewujudkan promosi potongan diskaun, rebat syiling ‘coins cashback’, diskaun ‘follow prize’, baucer kedai, baucer produk dan promo kupon. Justeru, latihan ini diharapkan dapat membantu lebih ramai lagi para peniaga tidak kira baru atau lama untuk berjinak-jinak di dalam aktiviti perniagaan atas talian sehingga mampu menghasilkan jualan di platform e-Dagang. Kesannya, masyarakat tempatan dapat menjana semula pendapatan dan mengukuhkan kembali sumber kewangan masing-masing lalu menggerakkan pertumbuhan ekonomi negara untuk kembali stabil demi kesejahteraan sejagat.
Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan: