Latihan ICT – Kelas Shopee (Live Tutorial Cara Cetak Slip Pos)
21 Disember 2020 | Aktiviti TerkiniShopee merupakan antara platform e-Dagang melibatkan aktiviti membeli-belah secara atas talian yang utama di Malaysia. Terdapat pelbagai inisiatif yang menumpukan terhadap aktiviti penjualan di platform e-Dagang khasnya Shopee telah diusahakan bagi merancakkan semula perkembangan ekonomi negara selepas Pandemik COVID-19 melanda di negara ini. Maka, satu sesi Latihan ICT – Kelas Shopee (Live Tutorial Cara Cetak Slip Pos) telah diadakan secara atas talian bagi menggalakkan komuniti setempat untuk turut serta memulakan perniagaan di Shopee dan mampu meraih pendapatan sampingan menerusi platform tersebut
Latihan ICT – Kelas Shopee (Live Tutorial Cara Cetak Slip Pos) yang dikendalikan oleh staf Pusat Internet Komuniti PPR Kg Muhibbah ini berlangsung secara Live di Facebook Page Pusat Internet Komuniti PPR Kg Muhibbah dengan menggunakan aplikasi Stream Yard Live Studio. Pada permulaan kelas, pautan borang Google Form dikongsikan di ruangan komen dan peserta yang menonton video bagi mengikuti kelas ini diminta untuk mengisi maklumat yang diperlukan dengan menekan pautan yang diberikan sebagai tanda penglibatan. Kelas Shopee kali ini memfokuskan panduan mencetak slip pos (Shopee waybill) melalui laman Pusat Penjual Shopee yang boleh dilayari menerusi (https://seller.shopee.com.my). Penjual Shopee perlu mendaftar masuk ke laman berikut dan pergi ke bahagian penghantaran ‘my shipment’ atau klik ‘to process shipment’ di bahagian utama ‘home’ untuk memproses penghantaran pesanan dan klik ‘print waybill’ untuk mencetak atau memuat turun slip pos.
Sementelahan, peserta turut mempelajari tips baharu bagi mempromosikan produk jualan di Shopee dengan mengadaptasikan alat bantuan pemasaran seperti kaedah mencipta tawaran diskaun ‘bundle deal’, ‘top picks’ pilihan popular di dalam koleksi kedai Shopee, menjalankan iklan Shopee berdasarkan kata kunci ‘keyword ads’ dan sasaran ‘targeted ads’. Bagi menarik perhatian prospek atau bakal pembeli, cara-cara untuk membuat dekorasi di profil kedai juga dipaparkan termasuk kaedah mempromosikan produk jualan di dalam kempen Shopee mengikut tempoh tertentu. Contohnya, langkah untuk memasukkan gambar atau video promosi di profil kedai serta mencalonkan produk jualan di dalam kempen Shopee “2.2 CNY Sale” sempena Sambutan Tahun Baharu Cina 2021 turut diajarkan kepada para peserta yang mengikuti kelas dalam talian ini.
Sehubungan dengan itu, diharapkan perkongsian ini dapat membantu lebih ramai golongan usahawan atau mereka yang terjejas dari segi ekonomi akibat Pandemik COVID-19 untuk merebut peluang dengan bergiat aktif di dalam meneroka pemasaran digital dan mampu memperoleh pendapatan sampingan melalui perniagaan atas talian di platform e-Dagang seperti Shopee
Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan: